Tanam Benih Itu Sekarang!

Assalamualaikum, salam sejahtera diucapkan kepada pembaca artikel Cikgu Shah.

Orang dulu-dulu ada hobi suka mengumpul. Dulu mereka suka mengumpul setem dan poskad. Ada juga yang mengumpul duit syiling lama. Cikgu pula suka mengumpul buah dan sayur! Ha! Tiadalah mengumpul dan menyimpan, rosak pula buah-buahan itu nanti simpan lama-lama, dahlah ada tamat tempoh. Dah kumpul banyak kemudiannya apa lagi… jual lah! Haha.

 

Pertanian ini memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi. Tapi pengetahuan dan kemahiran yang paling berkesan adalah melakukan cucuk tanam sendiri dan melakukan pemerhatian sendiri dari cucuk tanam tersebut. Kena cuba dulu baru tahu. Dan jangan risau dengan cabaran, kerana tiada hasil yang sempurna pada cubaan yang pertama. Trial and error. Dan tiada apa hendak dirasa malu dan kecewa dengan melakukan kaedah trial and error kerana kaedah itu sendiri adalah suatu kaedah penyelesaian masalah yang terkenal dan diiktiraf!

 

Bercucuk tanam ni boleh dibuat di mana-mana sahaja. Tepi rumah. Belakang rumah. Atas rumah. Luar rumah. Dalam rumah. Tanah yang sempit. Tanah yang luas. Hatta, atas lantai simen pun kita masih boleh bercucuk tanam. Ya, betul boleh! Provided that anda lengkapkan diri anda dengan sedikit pengetahuan mengenai kaedahnya.

 

Pertanian dan bercucuk tanam ini mempunyai pelbagai cara dan kaedah, bergantung kepada tujuan dan matlamat anda, sama anda bercucuk tanam untuk tujuan rekreasi dan hobi, strateginya berbeza dengan jika anda bercucuk tanam untuk tujuan komersial.

 

Kenapa anda kena bercucuk tanam?

  • Anda akan memperolehi sumber pemakanan sihat pada kos yang rendah!
  • Anda dapat menikmati suasana (environment) yang menyihatkan dan damai.
  • Anda ada peluang untuk menjana pendapatan sendiri (melalui penjualan lebihan hasil pertanian).
  • Dan yang paling utama, anda memiliki makanan… untuk SEPANJANG TAHUN (inshaa’Allah).

 

SUMBER MAKANAN SIHAT YANG MURAH

Makanan dari sumber yang kita hasilkan sendiri, kita akan lebih merasa yakin. Kenapa? Kerana kita sendiri yang melihat dan menyaksikan sendiri proses penghasilannya. Baja apa yang kita gunakan. Racun apa yang kita gunakan. Organik atau sintetik. Kadar dan kuantiti yang kita sendiri dapat kawal. Menyaksikan sendiri ancaman serangga perosak, yang mana kita boleh mudah untuk asing-asingkan hasil buah atau pokok yang bermasalah. Mudah kata, pokok dan buah membesar depan mata kita! Dan kita sendiri petik untuk kita makan, tanpa sentuhan dan penyelenggaraan dari pihak ketiga (seperti bertukar tangan dari ladang ke pemborong ke pasar melalui proses logistik dan secara longgokan boleh terdedah kepada pelbagai sumber kontaminasi yang tidak kelihatan).

Lebih-lebih lagi, jika pengusaha memilih jalan perladangan secara organik! Kita yang kawal jenis baja dan racun kita guna. Hasil makanan akan lebih berkualiti dan terselamat dari sisa kimia.

 

SUASANA YANG SIHAT

Hobi bercucuk tanam ni sangatlah memberikan ketagihan. Sudah, lupakan kekasih lama anda yang telah melukakan hati anda, belajar bercucuk tanamlah sekarang. Anda akan merasakan satu aura dan kenikmatan berada dalam kehidupan dikelilingi tumbuhan hijau, tumbuhan berwarna, daun berwarna, buah berwarna, merah, kuning, ungu, oren, bunga-bunga, tumbuhan perhiasan yang cantik dan sejuk mata memandang di setiap penjuru kediaman anda, dan serta suasana yang sihat dan memberi kesan yang sihat kepada diri anda. Bercucuk tanam dapat memberikan kesan therapeutic kepada kesihatan mental anda serta aktiviti fizikal yang dapat mengeluarkan peluh yang sihat.

T

umbuhan boleh bertindak untuk menapis kotoran dan pencemaran di udara. Bercucuk tanam juga dapat menyediakan habitat untuk burung, lebah dan rama-rama yang memberi ketenteraman kepada mata yang memandang, dengan bunyi kicauan burung dan buzzing dari lebah dapat mengalih perhatian fikiran dari kesibukan kota dan kerumitan masalah hidup. (Itu kalau anda bercucuk tanam bagi tujuan rekreasi, bagi tujuan komersial mungkin anda perlu mengambil kira untuk mengawal gangguan makhluk perosak dan pemangsa yang hadir).

 

PELUANG MENJANA PENDAPATAN

Tanam buah atau sayur dapat 10 hasil, 3 anda buat makan untuk diri dan keluarga, lagi 7 sedekah ke jiran tetangga atau saudara mara. Itu juga adalah merupakan suatu perniagaan. Iaitu dengan menjana pendapatan pahala yang berterusan. Tapi jika hendak jana pendapatan wang ringgit juga boleh, ye lah, dapat hasil pertanian banyak-banyak pun, bukannya kita mampu untuk habiskan semua dalam masa yang singkat. Buah atau sayur, semakin bertambah hari semakin berkurang kualiti dan nutrien yang akhirnya akan rosak juga. Maka lebihan sumber makanan itu boleh dijual ke pasar-pasar berhampiran. Dapat lah duit poket tepi untuk beli baja baru buat ganti baja lama.

 

Tapi untuk yang serious berhasrat untuk jana pendapatan melalui pertanian, jangan terkejut jika sektor pertanian benar-benar dapat memberikan pendapatan yang lumayan! Bergantung kepada tanaman apa yang anda ingin ceburi, jangkamasa pendek? Jangkamasa panjang? Bergantung kepada berapa modal anda, dan kesungguhan anda dalam menjayakan projek pertanian anda, pendapatan dari hasil pertanian memang boleh mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda. Tambahan pula, barang makanan organik amnya lebih mahal sehinggakan 2 hingga 3 kali ganda berbanding barang makanan yang bukan organik! (mungkin di post akan datang Cikgu Shah boleh berkongsikan mengenai kaedah pertanian natural farming). Makanya, untuk tujuan komersial, haruslah anda menuntut ilmu dan berguru dahulu dari seorang mentor atau coach yang anda yakini dan percaya. Jangan terus main belasah sahaja tanpa bekalan ilmu!

 
Funfact! Natural farming ialah satu kaedah pertanian yang memanfaatkan sumber semulajadi dalam proses menghasilkan hasil pertanian. Antara bahan-bahan semulajadi yang dapat dimanfaatkan melalui kaedah ini adalah: baja dari sumber organik (kompos), pengaplikasian mikroorganisma setempat (indigenous microorganisms), serta memanfaatkan faktor semula jadi seperti air, udara, cahaya matahari dan tanah. Malah, kawalan penyakit dan serangan serangga juga diselenggara secara menggunakan bahan-bahan semulajadi juga!
 

JAMINAN SUMBER MAKANAN

Bayangkan kesukaran untuk memperoleh makanan di pasar, tak selalu pergi pasar. Mungkin sseminggu sekali sahaja pergi pasar bagi yang berkeluarga, kalau kurang beli maka kekurangan sumber makanan harian yang sihat, buka-buka peti sejuk kosong sahaja, kalau terlebih beli berlaku pembaziran pula, kerana makanan ada short lifespan, makanan cepat rosak sebelum sempat dihabiskan. Buka peti sejuk, tiada makanan sihat dari buah dan sayur, alamatnya makanan segeralah yang akan dicapai.

Berbeza situasi dengan mereka yang bercucuk tanam sendiri pelbagai sumber makanan di halaman rumah. Mereka yang berpengalaman akan tahu, sumber makanan akan berterusan dan pelbagai. Cukup musim pisang dah berbuah. Cukup musim betik dah berbuah. Cukup musim buah belimbing pula sudah masak. Nak kangkung, petik sahaja. Nak cili, petik sahaja. Nak limau nipis, petik sahaja. Nak daun kari? Daun limau purut? Serai? Daun pandan? Pun sama. Setiap hari tak semestinya kita makan makanan yang sama, tapi bila tiba masa kita terasa nak makan atau guna bahan makanan itu untuk masakan, ianya mudah didapati sesegera mungkin.

 

Tuntasnya, tunggu apa lagi? Jangan rasa kurang dan tenggelam dengan betapa ceteknya ilmu anda sekarang, mula sahaja dahulu dan observe. Campak dan tabur biji benih tu sekarang belakang rumah! Ya, sekarang! Tunggu apa lagi? Biji benih yang mana? Yang itu lah?! Kalau tumbuh, tumbuh lah ia. Kalau tidak tumbuh, anda tahu, anda kena cuba lagi dengan cara dan kaedah yang lain pula. Namun, kalau tumbuh, hanya dengan sekadar menabur biji benih, anda akan dapat memerhati proses tumbesarannya dari hari ke hari. Dan anda pun tahu betapa mudahnya sebenarnya untuk mula bercucuk tanam.

 

Rujukan:

  1. Jabatan Pertanian. (2006). Natural Farming (NF) di Malaysia. Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian Malaysia.
  2. FAO. (2014). A Vegetable Garden for All Manual. 5th Ed. Rome, Italy: Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO).
  3. William Moss. (2012, August 24). Any Size, Anywhere Edible Gardening: The No Yard, No Time, No Problem Way to Grow Your Own Food. Minneapolis, Minnesota: Cool Springs Press.
Muhammad Shahrain Suhaimen
Muhammad Shahrain Suhaimen

Cikgu Shah menguruskan ladang di Kuantan. Berasal dari Kedah dan berhijrah ke Pahang untuk meneruskan minatnya dalam bidang pertanian. Cikgu Shah telah menamatkan Master dan Degree dalam jurusan Bio-Teknologi di UIAM (Kuantan). Disamping berada di ladang, Cikgu Shah menghabiskan masanya mengkaji berkenaan tumbuh-tumbuhan.

Copyright © 2021 by Hafizuddin Dzulkifli